Skim Pinjaman Pendidikan PTPTN diwujudkan bagi tujuan untuk memberi pinjaman pendidikan kepada pelajar yang mengikuti pengajian di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) tempatan. Pinjaman pendidikan ini akan membolehkan pelajar membiayai sepenuh atau sebahagian yuran pengajian dan juga kos sara hidup sepanjang tempoh pengajian. Sekali gus, membuka lebih banyak peluang kepada semua golongan pelajar untuk melanjutkan pengajian di peringkat pendidikan tinggi.
Kemudahan pinjaman pendidikan PTPTN adalah terbuka kepada pelajar yang menyambung pengajian di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) tempatan sahaja. Ianya selaras dengan Seksyen 2, Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 1997 (Akta 566) iaitu Institusi Pendidikan Tinggi yang ditubuhkan di bawah:
-
Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971;
-
Akta Institut Teknologi MARA 1976;
-
Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996;
-
Politeknik yang ditubuhkan dan disenggarakan oleh Menteri di bawah Akta Pendidikan 1996; dan
-
Mana-mana institusi pendidikan tinggi lain yang ditubuhkan atau disifatkan telah ditubuhkan di bawah Akta Pendidikan 1996 dan yang ditentukan oleh Menteri sebagai suatu institusi pendidikan tinggi.
Skop Pinjaman Pendidikan
Skop pinjaman pendidikan mengikut peringkat pengajian bagi IPTA/ IPTS/ Politeknik adalah seperti berikut:
PERINGKAT PENGAJIAN | KATEGORI IPT YANG DIBIAYAI |
---|---|
Diploma Sepenuh Masa |
IPTA, Politeknik dan IPTS |
Diploma Separuh Masa |
IPTA, Politeknik dan IPTS* |
Diploma PJJ |
IPTA |
Diploma Lanjutan |
IPTA dan Politeknik |
Ijazah Pertama Sepenuh Masa |
IPTA dan IPTS |
Ijazah Pertama Separuh Masa |
IPTA dan IPTS* |
Sarjana Sepenuh Masa/ Separuh Masa/ PJJ |
IPTA |
Doktor Falsafah Sepenuh Masa/ Separuh Masa/ PJJ |
IPTA |
Kursus Profesional Sepenuh Masa/ Separuh Masa/ PJJ |
IPTA |
Nota : * Pinjaman pendidikan dikhususkan kepada pelajar IPTS di UNITEM, UNITAR, Wawasan Open University dan Asia E University.
Syarat-syarat permohonan pinjaman pendidikan adalah seperti berikut:
-
Warganegara Malaysia;
-
Berumur tidak melebihi 45 tahun pada tarikh memohon;
-
Mendapat tawaran ke IPTA/ IPTS dan Politeknik dengan memenuhi syarat kelayakan masuk yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA);
-
Kursus yang diikuti oleh pelajar IPTA/ IPTS dan Politeknik mestilah mendapat kelulusan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia dan berdaftar dengan PTPTN;*
-
Bagi pelajar-pelajar IPTS, kursus yang diikuti mestilah mendapat Sijil Perakuan Akreditasi daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan masih di dalam tempoh sah laku semasa tarikh memohon;
-
Bagi pelajar yang mempunyai kelayakan berbeza pengesahan perlu diperolehi daripada jabatan atau agensi sebagaimana dinyatakan di atas;
-
Baki tempoh pengajian semasa membuat permohonan hendaklah tidak kurang dari satu (1) tahun;
-
Telah membuka akaun Simpan SSPN Prime/ Simpan SSPN Plus**.
* Hanya kursus yang diluluskan tajaan PTPTN akan didaftarkan dan disenaraikan dalam Portal Permohonan Online PTPTN. Pihak IPT perlu membuat permohonan kepada PTPTN sekiranya ingin mendapatkan tajaan pinjaman PTPTN.
** Hanya akaun Simpan SSPN Prime yang mempunyai 15 digit sahaja yang boleh membuat permohonan PTPTN. Sila hubungi cawangan PTPTN berhampiran untuk menyemak nombor akaun Simpan SSPN Prime 15 digit.
Peringkat jumlah pinjaman ditentukan berdasarkan kelayakan di bawah:
PERINGKAT PINJAMAN | KELAYAKAN |
---|---|
Maksimum |
Sekiranya pelajar atau penjaga pelajar disenaraikan sebagai penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) |
75% daripada pinjaman maksimum |
Pendapatan keluarga tidak melebihi RM8,000 (tiada dalam data BPR) |
50% daripada pinjaman maksimum |
Pendapatan keluarga melebihi RM8,000 (tiada dalam data BPR) |
Program Sepenuh Masa
Institusi | Peringkat Pengajian | Jumlah Pinjaman Setahun Mengikut Peringkat | ||
---|---|---|---|---|
Maksimum (RM) |
75% (RM) |
50% (RM) |
||
Universiti Awam, Politeknik & Kolej komuniti | Integrasi/ Diploma | 4,750 | 3,560 | 2,380 |
Ijazah Sarjana Muda (Sains) | 6,650 | 4,990 | 3,330 | |
Ijazah Sarjana Muda (Sastera) | 6,180 | 4,630 | 3,090 | |
Ijazah Sarjana (Master) | 9,500 | 7,130 | 4,750 | |
Doktor Falsafah (PhD) | 24,700 | 18,530 | 12,350 | |
Kursus Profesional | 5,700 | 4,280 | 2,850 | |
IPTS | Foundation | 6,800 | 5,100 | 3,400 |
Diploma | 6,800 | 5,100 | 3,400 | |
Diploma (Farmasi, Pergigian & Sains Kesihatan) | 12,750 | 9,560 | 6,380 | |
Ijazah Sarjana Muda (Sains) | 14,030 | 10,520 | 7,010 | |
Ijazah Sarjana Muda (Sastera) | 13,600 | 10,200 | 6,800 | |
Ijazah Sarjana Muda (Farmasi, Pergigian & Sains Kesihatan) | 17,000 | 12,750 | 8,500 | |
Ijazah Sarjana Muda Perubatan (MBBS) | * 50,000 | * 37,500 | * 30,000 |
Program Separuh Masa
Pengajian Separuh Masa | ||
---|---|---|
Institusi | Peringkat Pengajian | Jumlah Pinjaman Siling Setahun (RM) |
Universiti Awam & Politeknik | Diploma | 4,750 |
Ijazah Sarjana Muda | 6,180 | |
Ijazah Sarjana (Master) | 9,500 | |
Doktor Falsafah (PhD) | 24,700 | |
Kursus Profesional | 5,700 | |
IPTS | Diploma | * 5,050 |
Ijazah Sarjana Muda | * 5,470 |
Nota: * Berkuatkuasa mulai Januari 2018
- Jumlah pinjaman pendidikan sebenar ditentukan mengikut yuran pengajian sahaja dan tidak melebihi jumlah siling yang ditetapkan.
- Pinjaman untuk Separuh Masa IPTS disediakan bagi Universiti Terbuka Malaysia, Universiti Terbuka Wawasan, Universiti Tun Abdul
Razak (UniRazak), Asia E Universiti dan UNITAR sahaja.
Pengeluaran pinjaman pertama dibuat setelah pelajar memulangkan dokumen perjanjian lengkap kepada PTPTN.
Pengeluaran pinjaman kepada pelajar bagi semester berikutnya dibuat berdasarkan syarat-syarat berikut:
-
Masih meneruskan pengajian pada peringkat, jurusan dan IPT yang diluluskan; dan
-
Lulus peperiksaan pada semester sebelumnya dengan keputusan Purata Nilai Gred (PNG) 2.0 ke atas.
Adalah dimaklumkan PTPTN tidak terlibat di dalam urusan pemotongan yuran pengajian IPT. Amaun pinjaman akan dikreditkan terus ke akaun pelajar mengikut semester tertakluk kepada pengesahan yang diberikan oleh IPT. Semakan bayaran pinjaman boleh dilakukan di Penyata Pinjaman dan penyata akaun bank peminjam. Sebarang pertanyaan melibatkan pemotongan yuran pengajian perlu dirujuk kepada IPT masing-masing.
Skim pinjaman Pendidikan PTPTN dilindungi oleh takaful berkelompok sekiranya berlaku kematian atau ilat kekal menyeluruh kepada peminjam.
Di bawah konsep perlindungan takaful berkelompok, amaun pinjaman yang dikeluarkan oleh PTPTN kepada peminjam akan mendapat perlindungan sepenuhnya daripada syarikat pengendali takaful.
Setiap peminjam dikehendaki menanggung segala kos perlindungan takaful sebagaimana termaktub dalam perjanjian pinjaman. Bagi peminjam yang masih belajar, kaedah potongan sumbangan takaful dibuat pada setiap kali pengeluaran pinjaman. Manakala bagi peminjam yang telah menamatkan pengajian dan potongan sumbangan takaful didapati tidak mencukupi atau berbaki negatif, amaun tersebut akan didebitkan sebagai pinjaman tambahan.
Pinjaman pendidikan akan diberhentikan atas sebab-sebab berikut:
-
Gagal/ berhenti pengajian pada peringkat/ jurusan/ IPT yang diluluskan semasa memohon pinjaman pendidikan;
-
Pelajar membuat pembatalan pinjaman pendidikan PTPTN;
-
Pemalsuan maklumat semasa permohonan; atau
-
Peminjam diisytihar muflis.