Belanjawan 2021 Beri Manfaat Kepada Pendeposit SSPN

Belanjawan 2021 Beri Manfaat Kepada Pendeposit SSPN

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, Perdana Menteri Malaysia bagi inisiatif yang diberikan kepada pendeposit Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dalam Belanjawan 2021.

Belanjawan 2021 yang dibentangkan oleh YB Senator Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan Malaysia pada 6 November 2020 (Jumaat) telah mengumumkan pelepasan cukai sehingga RM8,000.00 setahun bagi simpanan bersih dalam SSPN dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2022. Insentif yang diumumkan ini adalah cadangan daripada PTPTN untuk memberi galakan kepada ibu bapa agar terus membuat simpanan bagi tujuan pendidikan tinggi anak-anak mereka.

PTPTN menyeru agar rakyat Malaysia terus menjadikan SSPN sebagai pilihan utama untuk membuat simpanan bagi tujuan pendidikan tinggi selaras dengan usaha Kerajaan memberikan manfaat penabungan melalui insentif Belanjawan 2021 ini.

Sesungguhnya, rakyat Malaysia amat bertuah kerana mempunyai Kerajaan yang amat prihatin dalam menyediakan keperluan rakyat terutamanya dari aspek kewangan bagi persediaan anak-anak untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi demi masa depan yang lebih cemerlang.

#lovesspn